[VIDEO] Lagu klon P Ramlee, Baby Shima 'trending' nombor satu
KUALA LUMPUR: Gandingan sulung klon Tan Sri P Ramlee, Fairuz Misran, dengan penyanyi, Baby Shima, menerusi lagu Ikatan Asmara membuahkan hasil apabila ia berjaya menduduki tempat pertama video sohor kini di laman YouTube.
Baru sahaja dikongsi di laman berkenaan pada 6 Januari lalu, video muzik rasmi lagu irama 1950-an ciptaan Harry Khalifah dan Achoi Floor 88 itu sehingga kini sudah ditonton lebih 1.3 juta kali.
Menerusi ruangan komen di laman berkenaan, rata-rata peminat menyukai paduan suara dua penyanyi terbabit yang disifatkan sebagai serasi. Malah, sebahagiannya berkata, ia mengembalikan nostalgia terhadap Seniman Agung dan isterinya, Biduanita Negara Puan Sri Saloma.
Bercakap kepada BH Online, Fairuz, 35, berkata sebagai penggemar lagu lama, dia mengambil masa singkat sahaja untuk menyatakan persetujuan bagi merakamkan lagu ciptaan komposer terkenal itu.
“Saya memang seorang artis yang memperjuangkan melodi sebegitu. Jadi, apabila Harry memperdengarkan melodi lagu terbabit, saya tidak berfikir panjang, sebaliknya terus bersetuju.
“Alhamdulillah, saya tak sangka ia mendapat sambutan begitu hebat daripada peminat. Sebelum ini, lagu Indahnya Raya mencecah sejuta tontonan selepas sebulan video muziknya dilancarkan di YouTube. Jadi, agak mengejutkan apabila dalam tempoh beberapa hari sahaja, Ikatan Asmara mampu ‘trending’,” katanya.
Mengenai persamaannya dengan P Ramlee, penyanyi berasal dari Sabah ini tidak bimbang andai ada pihak mempertikaikan konon dia cuba meniru seniman serba boleh itu.
“Terpulang kepada masyarakat untuk memperkatakan apa sahaja kerana mereka berhak untuk berbuat demikian.
“Bagi saya sendiri, tiada sekelumit keinginan untuk menumpang populariti penyanyi legenda terbabit, sebaliknya saya cuma ingin memperjuangkan muzik pernah dibawakan P Ramlee,” katanya.
Sementara itu, Harry berkata dia sengaja memilih melodi sedemikian untuk Fairuz kerana ia bersesuaian dengan imejnya.
Bagaimanapun, seperti Fairuz, dia juga terkejut apabila lagu itu berupaya menjadi sohor kini dalam tempoh hanya beberapa hari.
“Setiap kali menghasilkan lagu untuk seseorang penyanyi, saya akan membayangkan seperti memakaikan baju ke tubuh mereka. Untuk berbuat demikian pula, kita perlu cari baju yang sesuai atau ‘ngam’. Begitulah juga sewaktu saya menghasilkan lagu untuk Fairuz.
“Apabila memikirkan fizikal, karakter dan suaranya, kita tidak dapat menolak Fairuz memiliki ciri-ciri yang sama dengan Allahyarham. Dari situ, saya tahu konsep lagu yang sesuai dengannya. Ternyata, pertaruhan itu tidak salah apabila ia diterima baik.
“Saya sendiri tidak mengambil masa lama untuk menghasilkan lagu berkenaan. Cuma, rakamannya sahaja dilakukan agak lewat. Sepatutnya, ia dirakamkan pada tahun lalu, tetapi ketika itu kami mahu mengkaji pasaran terlebih dahulu,” katanya yang tidak menolak untuk mencuba genre berbeza untuk penyanyi itu, selepas ini.
Sumber: berita harian
-Info Semasa



Comments
Post a Comment