10 mayat rentung ditemui dalam kenderan
MEXICO CITY: Pihak berkuasa sedang menyiasat penemuan sebuah kereta yang terbakar dengan 10 mayat rentung di dalamnya di barat daya Guerrero.
Jurucakap pihak keselamatan Guerrero, Roberto Alvarez, berkata polis membuat penemuan ngeri itu di sebuah jalan luar bandar di wilayah Chilapa de Alvarez, selepas orang awam melaporkan ternampak kereta yang sedang terbakar.
Belum dapat dipastikan apa menyebabkan kereta itu terbakar dan berdasarkan laporan media, mangsa termasuk remaja serta lelaki menganggotai kumpulan muzik yang disyaki diserang penembak kartel dadah tempatan.
Guerrero, antara negeri termiskin Mexico, sudah lama dikenali sebagai antara lokasi paling ganas di negara itu terutama wilayah Chilapa de Alvarez, yang merekodkan kadar pembunuhan tertinggi tahun lalu.
Kartel dadah sering bertindak ganas mempertahankan laluan penyeludupan di sepanjang pesisiran pantai Pasifik.
Pada 14 Oktober lalu, 14 suspek jenayah dan seorang anggota tentera terbunuh di Guerrero selepas kumpulan bersenjata menyerang pasukan pihak berkuasa.
Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador, yang mengambil alih pucuk pimpinan negara lebih setahun lalu, berikrar membanteras jenayah ganas menerusi program sosial membasmi kemiskinan sehingga ke akar umbi berbanding tindakan ketenteraan.
Namun, negara itu menyaksikan hampir 29,000 pembunuhan tahun lalu dan menerima laporan mengenai kira-kira 275,000 pembunuhan sejak tentera kerajaan melancarkan operasi terhadap kartel dadah pada 2006. - Agensi
Sumber: Berita Harian
https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2020/01/648097/10-mayat-rentung-ditemui-dalam-kenderan
-Info Semasa
Comments
Post a Comment