Mayat bayi disangka ayam





MAYAT bayi perempuan yang dibungkus dan diletakkan dalam bakul plastik ditemui dalam tong sampah di Taman Perumahan Cyber City di Penampang, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, mayat bayi yang dipercayai baru dilahirkan itu ditemui oleh seorang wanita kira-kira 10.20 pagi.

“Pada awalnya saksi menyangkakan bakul itu berisi seekor ayam dan dia mengasingkannya ke dalam tong sampah lain.

“Saksi kemudiannya berasa hairan kerana berat isi kandungan bungkusan itu lalu membukanya dan terkejut apabila melihat bahagian belakang punggung bayi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, wanita itu kemudiannya memaklumkan kepada pengawal keselamatan sebelum menghubungi polis.

“Susulan laporan itu, sepasukan Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah dan pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu ke lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan mendapatinya adalah bayi perempuan dan disahkan tidak bernyawa oleh pegawai perubatan.

“Mayatnya dihantar ke HQE untuk siasatan lanjut bagi mengetahui punca kematiannya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil menyalurkannya ke balai polis berdekatan.

Sumber Harian Metro

Comments

Popular Posts