Ibu bapa terjebak dadah: 8 beradik diselamatkan JKM
MELAKA: Lapan beradik yang ibu bapa mereka terbabit dalam penyalahgunaan dadah, diselamatkan pihak berkuasa di rumah mereka di Bukit Rambai, pagi tadi.
Lapan beradik iaitu empat lelaki dan empat wanita berusia antara 14 hari hingga 15 tahun itu diselamatkan polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada jam 3 pagi.
Bagaimanapun, dua lagi adik-beradik mereka berusia 14 dan 17 tahun tiada di rumah ketika itu.
Serbuan dibuat selepas pihak berkuasa selepas menerima aduan bahawa ada antara 10 beradik berkenaan tidak bersekolah sejak awal tahun ini, manakala ibu dan bapa mereka berusia 38 dan 43 tahun dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
Mereka juga dikatakan tidak cukup makan dan ketika diselamatkan, lapan beradik yang berada di rumah dalam keadaan kelaparan.
Pengarah JKM negeri, Burhanuddin Bachik, berkata operasi kira-kira jam 8 malam tadi dan berakhir sembilan jam kemudian, diketuai anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
Beliau berkata, lapan beradik terbabit diselamatkan selepas ibu bapa mereka ditahan polis bagi membantu siasatan kes dadah.
“Kesemua mereka akan dibawa ke mahkamah esok untuk mendapatkan perintah jagaan sementara di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan) 2016 untuk ditempatkan di institusi JKM,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata ibu bapa lapan beradik berkenaan yang ditahan dalam Ops Tapis itu, positif dadah.
Beliau berkata, pemeriksaan di dalam rumah didiami pasangan suami isteri berusia 38 dan 43 tahun itu, polis menemui satu paket plastik lut sinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat kira-kira 0.15 gram.
“Hasil ujian saringan air kencing dilakukan mendapati suspek wanita positif dadah jenis syabu manakala suaminya positif ganja. Kedua-dua mereka dipercayai menggunakan barang terlarang ini di dalam rumah.
“Suspek lelaki turut memiliki enam rekod lampau termasuk satu kes dadah. Mereka direman empat hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.
Sementara itu, kakak tiri kepada lapan beradik berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Siti berusia 20-an berkata, dia lega apabila adik tirinya itu diselamatkan pihak berkuasa.
“Apabila mendapat tahu adik-adik diselamatkan JKM, saya rasa lega walaupun tahu mereka akan berdepan situasi sukar di peringkat awal kerana berjauhan dengan ibu.
“Jauh di sudut hati tidak sanggup dan sedih melihat adik-adik, terutama yang kecil terpaksa berpisah dengan ibu, tetapi demi jaminan masa depan dan kehidupan yang lebih baik, biarlah mereka dijaga pihak yang bertanggungjawab.
“Selain mengharapkan adik-adik mendapat kehidupan yang baik, saya juga berdoa ibu akan berubah demi kami semua,” katanya yang turut mengakui konflik keluarga menyebabkan dirinya juga dibesarkan di bawah jagaan JKM sejak berusia sembilan tahun.
Sumber: Berita Harian
Comments
Post a Comment