Program Najib bertukar kecoh



PROGRAM sembang santai bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini di sebuah restoran di hadapan Universiti Malaya (UM) bertukar kecoh apabila enam penuntut membuat provokasi ketika program dijalankan.

Insiden bermula apabila enam penuntut berkenaan membawa dan memegang plakad yang antara lain tertera perkataan “Najib Tak Malu” dan “Pulangkan Duit Rakyat” selain karikatur badut yang menyerupai Najib.


Tindakan itu menyebabkan penyokong Najib menghampiri mereka dan mengoyakkan plakad yang dipegang pelajar sebelum berlaku kekecohan.

Bagaimanapun insiden berkenaan berjaya ditenangkan polis yang berada di lokasi.

Video dan gambar insiden berkenaan menjadi tular di laman sosial sejak petang tadi.


Program yang bermula jam 3 petang itu dihadiri kira-kira 30 mahasiswa UM dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk berdialog berhubung isu semasa bersama bekas Perdana Menteri itu.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya berharap jika terdapat unsur jenayah pihak berkuasa perlu mengambil tindakan.

“Saya ingin menegaskan rasa sedih, kecewa dan kesal dengan apa yang berlaku di UM siang tadi.


“Universiti ialah medan intelektual terbuka. Ia adalah medan untuk kita berbincang, berdebat, berwacana dan berforum secara aman,” katanya.

Dr Maszlee berkata, universiti juga bukan tempat untuk samseng, pelampau dan pengganas.


“Untuk anak mahasiswa, jangan malu. Ada beban tanggungjawab yang harus kita pikul untuk masyarakat.

“Kita harus terus ke depan melawan kebobrokan dan menyatakan kebenaran,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Comments

Popular Posts