Mayat remaja hilang ditemui
JOHOR BAHRU - Mayat remaja yang lemas ketika mandi laut bersama lima lagi rakan di kawasan tambakan pasir berdekatan Tanjung Piai, Pontian, ditemui di kawasan paya bakau berhampiran lokasi kejadian.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Johor, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai penemuan mayat tersebut kira-kira 9.50 pagi tadi.
Menurutnya, sebuah bot maritim digerakkan ke lokasi kejadian sebelum mendapati mayat tersebut hanya dapat diambil melalui jalan darat berikutan keadaan air surut.
“Bot tidak boleh memasuki kawasan tersebut. Mayat mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan oleh pihak polis dengan bantuan penduduk setempat dan telah disahkan oleh keluarga mangsa.
“Mayat mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Pontian bagi tujuan bedah siasat pada jam 11.50 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sanifah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sebelum itu ditamatkan malam semalam, kerana tiada petunjuk baharu ditemui walaupun pelbagai usaha dilaksanakan sepanjang lima hari pencarian.
Katanya, operasi SAR itu ditamatkan setelah mengambil kira pelbagai aspek dan selepas mencapai kata sepakat antara semua pihak yang terbabit menerusi perbincangan pada petang semalam.
Selain itu, beliau berkata, orang ramai yang ingin melaksanakan aktiviti di laut dinasihatkan untuk mengutamakan aspek keselamatan dan sentiasa berhati-hati agar risiko kemalangan atau kejadian tidak diingini dapat dikurangkan.
Sebarang aduan jenayah atau kecemasan di laut hubungi 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199404.
Sumber: Sinar Harian
Comments
Post a Comment