Penghantar barang maut ketika pulang rumah
KUALA LANGAT - Seorang penghantar barangan sebuah syarikat pengangkutan maut ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas motosikal ditungganginya terbabas di Kilometer 18 Jalan Klang - Banting - Port Dikson di sini malam tadi.
Kejadian berlaku pukul 7.30 malam ketika Mad Rosni Johari, 48, ketika menunggang motosikal jenis Honda Wave dalam keadaan hujan lebat, meninggal dunia akibat parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke Banting selepas selesai bekerja di sebuah syarikat pengangkutan di Klang di sini.
"Bagaimanapun, motosikal ditunggangi mangsa hilang kawalan sebelum terbabas di pembahagi jalan ketika susur masuk Bulatan Pulau Carey dekat sini.
"Mangsa yang parah di bahagian kepala kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azizan menambah, mayat mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat.
Jelas beliau, siasatan di lokasi kejadian mendapati permukaan jalan dalam keadaan basah dengan cuaca ketika kejadian adalah hujan lebat.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Kosmo Online
Comments
Post a Comment