Kuil sri maha Mariamman tidak akan dipindahkan sehingga 11 jun depan


Kuil Sri Maha Mariamman tidak akan dipindahkan sehingga 11 Januari depan

SHAH ALAM - Kerajaan negeri memberikan jaminan tidak akan memindahkan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya di sini sehingga 11 Januari tahun hadapan.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, jaminan tersebut susulan satu prosiding injuksi mahkamah berhubung pemindahan kuil akan diadakan pada tarikh tersebut.

Katanya, kerajaan negeri diketuai beliau sendiri turut akan melakukan perbincangan dengan pihak yang terlibat iaitu kuil dan pemaju tanah, One City Development Sdn. Bhd. selewat-lewatnya Selasa depan.

"Namun, ada syaratnya iaitu tiada lagi provokasi dan rusuhan berlaku di kawasan kuil tersebut.

"Kita akan mengutarakan beberapa pilihan bagi memastikan situasi menang-menang dalam mencari penyelesaian menyeluruh berhubung isu kuil tersebut," katanya pada sidang akhbar khas berhubung kuil Sri Maha Mariamman di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua memberitahu, perbincangan tersebut akan dilakukan dalam dua bentuk sama ada bersama atau berasingan.

Ujarnya, kerajaan negeri sebelum ini telah memberikan komitmen dalam proses pemindahan kuil sebanyak tiga kali sejak 2008 sehingga 22 November lalu.

Ini termasuk pemberian tanah seluas 0.6 hektar untuk tapak kuil baharu dan kawasan letak kenderaan bagi pengunjung kuil berkenaan.

"Kita hormati dan akur keputusan mahkamah dan apabila berlaku insiden (rusuhan) kita tidak sokong.

"Justeru, kita kena asingkan hal berkaitan jenayah (diuruskan pihak polis) dan hak kuil yang mana akan dibincangkan oleh pihak kerajaan negeri," katanya.

Sumber: Kosmo Online

Comments

Popular Posts